nuffnang

Search This Blog

Saturday, April 25, 2009

Fungsi serat dalam diet

Menambah oat pada diet adalah cara mudah memastikan anda mendapat manfaat kesihatan daripada pemakanan yang kaya serat mudah larut dan tidak boleh larut.

Kita semua tahu betapa penting menjaga kesihatan usus. Penghadaman makanan, penyerapan zat makanan dan proses lain dalam tubuh badan bergantung kepada saluran penghadaman sihat. Pada tahun 80an, Sylvester W. Graham menjadi termasyur kerana mengesyorkan pengambilan makanan pelawas untuk menjaga kesihatan usus. Namun, hampir seabad kemudian, iaitu pada tahun 60an, barulah pakar sains mula menyelidik secara serius mengenai tugas serat dalam kesihatan.

Kini, kesedaran awam mengenai serat makanan semakin meningkat, setelah lebih banyak kajian dijalankan, mengaitkannya dengan risiko lebih rendah mendapat penyakit jantung koronari. Pemakanan yang mengandungi banyak serat makanan mengurangkan risiko penyakit dengan memperbanyak najis, mengurangkan masa transit makanan melalui saluran gastrousus, mengurangkan tahap kolesterol darah dan membantu mengawal tahap kandungan gula dalam darah. Bran oat dan oatmeal mengandungi jenis serat yang biasa dipanggil 'serat mudah larut'. Serat jenis ini juga ada pada buah-buahan, kacang dan kekacang yang juga mengandungi Vitamin B dan asid folik. Asid folik yang penting untuk menambah sel darah merah serta menyumbangkan karbohidrat kompleks yang penting untuk rembesan hormon selepas penghadaman.

Disebabkan kesannya kepada tahap kandungan gula dalam darah, serat mudah larut semakin penting dalam pemakanan untuk pesakit kencing manis. Apabila serat mudah larut dimakan, ia membentuk gel di dalam perut yang membantu melambatkan kadar perjalanan zat makanan meninggalkan perut untuk memasuki usus kecil.
Melambatkan penyerapan oleh serat oat bermakna melambatkan kadar penyerapan gula (glukosa) oleh tubuh badan, menyebabkan tahap kandungan gula di dalam darah meningkat secara lebih rata berbanding dengan yang berlaku kepada beberapa jenis karbohidrat seperti bran gandum yang diserap cepat. Disebabkan itu, serat oat pilihan sempurna bagi penghidap kencing manis. Disamping itu, bagi mereka yang cuba mengawal berat badan, melambatkan penyerapan zat makanan bermakna menagguhkan rasa lapar dan membolehkan mereka kenyang lebih lama.

Baru-baru ini, serat oat didapati merendahkan kolesterol darah apabila dimakan sebagai sebahagian pemakanan rendah lemak. Dianggarkan bahawa penurunan setiap satu peratus kolesterol darah dapat mengurangkan dua peratus risiko penyakit jantung koronari.

Serat oat dikatakan mengurangkan kolesterol darah dua cara. Pertama, ia bergabung dengan kolesterol di dalam asid hempedu - cecair kekuningan yang dirembes oleh hati untuk memcahkan lemak di dalam usus kecil. Sebahagian kolesterol di dalam asid hempedu mungkin akan dikeluarkan bersama serat sebagai bahan buangan, dan tidak diserap semula. Untuk menggantikan asid hempedu yang hilang, kolesterol dikeluarkan daripada badan, dan ini mengurangkan bekalan kolesterol. Kedua, penapaian serat oat di dalam usus mengeluarkan asid lemak, yang menghalang sintesis kolesterol.

Serat jenis lain, didalam bran oat dan makanan daripada oat (serta kebanyakan makanan yang kita makan, termasuk nasi perang dan beberapa jenis sayur) adalah "serat tidak larut". Serat ini dikatakan memberi kesan paling besar kepada kesihatan kolon atau usus besar, kerana ia tidak diserap dan bergerak dengan cepat di dalam usus ketika penghadaman. Serat tidak larut memperbanyak bahan buangan, lalu mempercepat pergerakan mengeluarkan bahan buangan daripada badan. Ini mengurangkan tekanan pada dinding kolon dan membantu mencegah sembelit.

Dengan membawa masuk air di dalam usus besar, serat tidak larut mencairkan karsinogen yang mungkin ada di dalam najis, dan mengurangkan pendedahan dinding usus kepada bahan-bahan ini. Disamping itu, serat tidak larut mengubah pH usus besar, mengganggu kegiatan mikrobial yang menghasilkan karsinogen. Kesan gabungannya dapat mengurangkan risiko barah kolon.

Pakar pemakanan mengesyorkan supaya semua orang cuba mengurangkan makanan berlemak dan mengambil lebih banyak makanan kaya serat dalam diet mereka. Pelbagai jenis makanan berserat (serat mudah larut dan serat tidak larut) adalah penting untuk kesihatan.

Anda tidak perlu mengubah amalan pemakanan cara mendadak untuk menikmati kesihatan yang seimbang. Apabila membeli-belah, masukkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar, kacang dan bijirin berserat seperti oat pada senarai barangan keperluan harian anda. Di mana boleh, pilihlah makanan tenusu yang kurang lemak, daging tanpa lemak dan ayam tanpa kulit.

No comments:

BlogMalaysia.com